Monday, February 15, 2010

Cermin Usang '6' (sampai disini...)

Waktu sessi petang dulu, letupan kuari di Batu Caves merupakan penanda masa menunjukkan waktu tepat jam 11 pagi. Kalau gagal pulang di sekitar waktu itu, dengar je leteran daripada bonda tersayang, bukan apa, dia bimbang takut-takut lewat ke sekolah. Padang sekolah waktu itu, adalah yang paling luas, trek balapan cukup la satu pusingan 400 meter (padang sekolah anak hari ni satu pusingan 200 meter je) tapi memang tak rata. Tersungkur atas sebab ni memang selalu. Hari ni kelibat van Milo yang datang masa sukan sekolah dah tak nampak lagi. Memori akan tetap kekal sebagai memori, penampilan kita hari ini sebenarnya cermin daripada pendidikan kita di masa lampau. Detik yang dilalui itu tidak mungkin dapat kita ulangi persis seperti masa lampau. Ianya akan jadi sejarah. Sementara ada usia, andai ada kesilapan yang mendatangkan dosa, segeralah kembali ke pangkal jalan. Perbetul apa yang kurang, fokuskan perjalanan kita yang akan datang kepada yang lebih baik. Andai ada perkara kebaikan yang ingin dilakukan tetapi segan untuk buat bersendiri, gunakan pentas ini, kita laksanakan bersama.
Akhir berkata salam dari kami, sahabat semua.

Monday, December 28, 2009

Cermin Usang '5'

Suasana pagi sewaktu di zaman persekolahan (waktu sekolah pagi) di Selayang Bharu dirasakan mempunyai aroma yang amat menyegarkan. Waktu itu Selayang Bharu tidak sepadat hari ini, ketenangan pagi amat dirasai. Menyusuri Jalan 11, kita pasti bertembung dengan bas mini nombor 10 yang padat tak ingat. Melihat penumpang berpaut di pintu bas mini atau bas panjang Len 71 tu adalah perkara biasa…………….tak pernah dengar ada yang tersangkut ke , jatuh ke atau lain-lain tragedi yang ngeri hasil daripada fenomena itu. Perhimpunan pagi adalah rutin yang tidak perlu dirakamkan, tetapi sketsa mereka yang datang lewat adalah lebih mengujakan, lebih-lebih lagi kalau ada ‘game’ kejar mengejar. Sebenarnya banyak pengajaran yang ada di situ, setidak-tidaknya untuk pendidikan anak-anak kita. Maklumlah kita 'master' bab-bab datang lewat ni, yang dikejar dan yang mengejar pun sebenarnya tak jauh beza. Di waktu menengah rendah, tingkatan 1 – 3, kita ada jurusan Seni Perusahaan (rindu bau bengkel) bagi murid lelaki, Seni Rumah Tangga bagi murid perempuan, Sains Pertanian dan Perdagangan. Secara peribadi di cermin usia hari ini, rasanya kurikulum pendidikan yang kita lalui dulu agak komprehensif, menuntut peribadi murid di waktu itu mengadaptasikan ilmu yang diturunkan dan perlu dicerna sebaik mungkin, kalau tak ‘sure’ gagal. Berbanding dengan sukatan pendidikan hari ini yang dilalui oleh anak-anak, amat jauh berbeza. Susah untuk jadi cermin pada anak-anak hari ini, kita kena keluar daripada dalam cermin lalu duduk berdamping dengan mereka barulah boleh untuk mula bicara.

Sunday, November 15, 2009

Cermin Usang '4'

Sekitar tahun 1986, selepas peperiksaan SRP, masih tercermin menghadiri satu khemah kerja Qiamullail anjuran Majlis Belia Daerah Gombak di Masjid Frim. Waktu itu, kami berbasikal ke sana, melalui denai hutan Frim (sebab jalan Kepong – Hospital Selayang) belum ada. Memanglah rasa macam terpaksa kerana memang dipaksa. Itulah Qiamullail yang pertama………………InsyaAllah bukanlah yang terakhir.

Agak kabur dalam cermin fikiran akan siapa antara rakan-rakan yang turut sama dipaksa………mungkin mereka yang pergi dulu boleh tampil mengaku. Nak ceritanya di sini, nama je anjuran Majlis Belia Daerah Gombak, tapi yang ada cuma kita-kita je. Maka diberilah input-input Islam kepada mereka yang hadir. Teringin juga nak buat sekali lagi bersama-sama rakan sekolah, nanti kita usahakan. Banyak aktiviti rasmi di sekolah dulu dihadiri oleh batch kita, hanya kerana kita antara batch yang senang dibentuk.

Ini terbukti, selepas 20 tahun terpisah, kita masih boleh dan mampu untuk duduk berkumpul dan merancang dalam bilangan yang amat ramai. Berazamlah rakan-rakan, berikan sesuatu, seandainya baik, ianya akan kekal sebagai amal kebaikan kepada diri kita dan di ketika yang sama membuang apa sahaja yang bakal mengaburi cermin diri kita.

Saturday, November 14, 2009

Friday, September 25, 2009

Cermin Usang '3'

Dalam banyak pertemuan, ada unsur menjuruskan agar kita bergerak dari sisi lain, umpamanya menubuhkan koperasi atau syarikat. Amat kerap kita menerbitkan nawaitu yang pelbagai, inilah cerminan yang perlu kita sama-sama gilap dan lihat apakah refleksinya kembali nanti. Rata-rata memberi reaksi positif malah amat extrim sehingga di satu tahap perbincangan, kita ingin melakukan apa yang dibincangkan itu seolah-olahnya keesokan hari………….tapi tidak kurang juga di setiap perbincangan, kita sering tersasar daripada topik.

Melihat anak-anak yang kian membesar, nampak diraut wajah mereka ada unsur ingin tahu apabila melihat blog kita ini. Begitu ingin tahunya mereka, malah amat menanti-nantikan bilakah kawan-kawan ayah nak buat hari keluarga lagi? Getus mereka setiap kali kami ada aktiviti luar. Tercermin di fikiran, bolehkah kita sandarkan apa yang ada di dalam blog kita ini agar menjadi contoh dan motivasi kepada mereka. Sekali lagi, berpaksikan ini, amat menuntut agar kita berfikir sematang yang mungkin sebelum bertindak, menulis malah meletakkan apa sahaja di dalam blog ini. Inilah sebahagian pengorbanan kecil yang mungkin boleh kita zahirkan buat masa ini. Sehingga di lain ketika……………..

anak-anak kita adalah cermin semulajadi kita.

Thursday, September 24, 2009

Lagi gambar kenangan lama dari Shahrul Nizam aka Calo (taken fr. Facebook)

Kelas 6'G' di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan 'Tamil' Batu Caves, Selangor DE.