Wednesday, November 21, 2007

Antara Teks Ucapan Pengerusi JawatanKuasa Bertindak

Assalamualaikum wbh dan salam sejahtera

19 tahun bukanlah jangkamasa yang pendek, semua daripada kita tentu bersetuju bahawa terlalu banyak perkara telah berlaku dalam kehidupan kita sebagai seorang insan. Semuanya bermula setelah kita meninggalkan alam persekolahan, alam latihan yang bagi saya terlalu unik dan terlalu bermakna. Tidak keterlaluan kalau kita katakan peribadi kita hari ini adalah diwarnai sebahagian besarnya oleh pendidikan di alam persekolahan. Justeru, kepada guru-guru, jutaan keampunan kami pohon andai pertemuan kita di waktu itu terlalu banyak meninggalkan kesan hasil daripada kenakalan kami, maklumlah budak baru belajar. Terima kasih kami yang tidak terhingga atas kesungguhan guru-guru sekalian, budi dan jasa itu tidak mampu untuk kami balas dengan apa cara sekalipun. Mungkin ada yang tertanya-tanya,mengapa hanya sebilangan kecil sahaja guru-guru yang dijemput, mengapa tidak semua? Jawapannya mudah sahaja, bilangan itu akan bertambah dengan perkembangan alumni ini atau perhimpunan ini. Hasrat secretariat atau jawatankuasa penaja ini begitu tinggi dan semuanya bergantung kepada kesediaan hadirin semua.
walaubagaimanapun menjadi tanggungjawab untuk saya menerangkan apa sebenarnya tujuan kita di sini, ke mana haluan yang kita cuba bentang serta di mana kebaikan dan apa bentuk manfaat yang boleh kita sama-sama kutip daripadanya. Selepas ini, kita akan cuba untuk menyusun supaya membolehkan kumpulan kita ini berdaftar agar mudah untuk kita bergerak dan dikenali. Usaha ini memerlukan masa dan kesudian untuk hadirin semua menjadi ahli dan semua itu akan kita salurkan maklumatnya dalam laman web yang bakal disiapkan dan juga melalui komunikasi semasa. Apabila tiba masanya, semua hadirin akan diberitahu setiap perkembangan.

Sebagai permulaan, jawatankuasa pengelola majlis pada hari ini akan berperanan untuk menggerakkan apa jua jentera yang sesuai untuk tujuan tersebut. Walaubagaimanapun, apa jua idea dan sumbangan daripada semua pihak amat dialu-alukan. Selepas ini, kita akan lebih banyak berkomunikasi dan bergerak bersama-sama untuk menjayakannya. Dengan terdaftarnya kumpulan ini, barulah pelbagai perkara yang bermanfaat dan sumbangan demi sumbangan untuk kebajikan kita semua boleh dirancang dan diusahakan. Mungkin ada yang bertanya, apa yang boleh kita dapat daripada perkara seumpama ini. Percayalah tuan-tuan dan puan-puan, terlalu banyak yang boleh kita lakukan atas nama kebaikan. Mari kita letakkan impian yang tinggi untuk itu dan sama-sama menggapainya. Di sinilah uniknya sekiranya kita bergerak untuk kebaikan kita sendiri melalui satu kumpulan yang dipunyai oleh kita sendiri.

Sebagai langkah permulaan, kita semua akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil dan ini bertujuan untuk memudahkan komunikasi sehingga kumpulan ini sah berdaftar. Siapakah ahli kumpulan anda akan diketahui setelah database kita dikemaskini.
Hadirin semua akan disms siapakah yang bakal menjadi ketua kumpulan anda dan ketua kumpulan anda akan menyalurkan apa jua maklumat kepada anda. Nantikan perkembangan ini dan marilah kita sama-sama berusaha agar semua ini berjalan dengan lancar. Dikesempatan yang ada pada hari ini, berkongsilah pengalaman dan kemaskinikanlah memori kita agar silaturrahim yang jauh selama ini akan segar kembali. Diruang yang terbatas ini, jawatankuasa penaja tidak berhajat untuk terlalu mengatur majlis ini sehingga tidak ada ruang untuk kita bertemu dan saling bertukar cerita.

Jika ada batch lain menyusun kumpulan seumpama ini, kita amat berlapang dada dan mengalu-alukan semua itu. Usaha untuk bersatu mesti disokong dan memilih wadah yang mana untuk kita bernaung adalah hak masing-masing. Namun biarlah batch 1984-1988 ini kekal dalam standard atau kelasnya yang tersendiri. Secara peribadi, saya amat merasa terharu atas kesudian hadirin semua hadir dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan majlis pada hari ini. Ini merupakan langkah awal yang amat positif dan memberi kami semangat dan keyakinan untuk melangkah lebih jauh.

Ada yang menyarankan untuk menyenaraikan kesemua nama dan nombor telefon batch ini dan diedarkan serta diberi kepada setiap seorang yang hadir pada hari ini. Namun kami mohon keampunan kerana itu tidak dapat dibuat atas dasar privacy, tidak semua orang mahu talian peribadi mereka dimiliki oleh ramai orang. Walau apapun pengkalan data untuk kesemuanya ada kami sediakan dan akan kekal digunakan untuk tujuan-tujuan pengurusan bagi pembentukan persatuan alumni ini.

Disepanjang sessi perjumpaan kita ini, ada sessi fotografi oleh jurugambar media cetak, kami amat berharap agar kesemua hadirin dapat beri kerjasama dan memberikan pose yang paling istimewa untuk album kita.

Teman-teman seperjuangan sekalian,
Melihat kehadiran teman-teman, saya penuh berkeyakinan bahawa kita mampu untuk pergi lebih jauh. Terlalu banyak keistimewaan yang ada di kalangan kita ini, dan keistimewaan itu boleh dikembangkan lebih jauh. Kami amat mengharapkan pandangan daripada teman-teman sekalian. Ada peti cadangan disediakan, di akhir sessi ini, letakkanlah cadangan atau pandangan anda di situ dan kami selaku penganjur majlis pada hari ini akan membaca setiap satunya ayat demi ayat. Semoga kita bertemu lagi di masa dan ketika yang mendatang ini, saya sudahi dengan serangkap pantun :

MENJALA BINTANG DI LANGIT BIRU
PUNGGUK MENYANGKA BULAN DIBURU
MEMANG LAMA TIDAK BERTEMU
SEKALI BERTEMU TERUS BERSATU

Ucapan semasa Majlis Sireh Pulang ke Gagang oleh En. Khairul Azman Ahmad Abkari

1 comment:

tomy said...
This comment has been removed by the author.